Bismillahirrahmannirrahim.
14 Disember - 5 tahun berlalu :
Teringat beberapa kali Kak'A call dan betapa aku berkeras tak mahu ikut Bapak & Kang Iman ke KL tengah hari tu dengan alasan esok (15.12.08) aku nak dengar taklimat upu.
Sedang aku bersiap memakai telekung untuk solat Asar petang tu, Kak Nina call, "Siap-siaplah. Nek orak kakak, Kang Romzi seng akan marani kuwe nko. Bapak akon marani kuwe jugak. (siap2 la. klu bkn kakak, kang (abg) romzi yg akn dtg jmpt ko nnti. bapak suruh jmpt ko jgk)."
Dan lepas solat, aku ajak Bibi (rumate aku), teman pi jumpa felo untuk minta kebenaran balik. Aku pun berkemas-kemaslah sementara tunggu Kang Romzi sampai.
Bertolak dari KMJ lepas Maghrib lebih kurang. Sampai KL rumah Kak'A dalam pukul 9.30 malam.
Satu jam terakhir di sisinya sebelum detik perpisahan tu. Dan aku bersyukur kerana aku berada di sisinya kala detik akhir itu tiba.
~ Damailah dikau di sana ibuku. Aishah sayang Mak, Aishah rindu Mak! ~
Al-Fatihah buat Allahyarhamah Hendon binti Mashud.
Itu salinan status ku di Facebook setahun yang lalu. Dan hari ini adalah hari Ahad. Walaupun bukan Ahad yang sama seperti 6 tahun lepas, tapi Ahad kali ini benar-benar membawa diri ku kembali ke tarikh 14 Disember 2008.
Bermula daripada detik ku terima panggilan daripada Kak'A tengah hari Ahad itu sampailah saat perpisahan terakhir, seterusnya urusan membawa pulang jenazah ke Kampung Jawa, dan akhir sekali urusan pengebumian pada pagi Isnin 15 Disember 2008.
Putus Bapak, jenazah arwah Mak akan dibawa pulang ke Kampung Jawa malam itu juga. Aku dan Hidayah yang menemani jenazah arwah Mak di bahagian belakang van sementara Bapak di bahagian depan sebelah pemandu manakala kakang-kakang dan kakak-kakak ku mengiringi dengan menaiki kenderaan masing-masing. Perjalanan dari Pinggiran Batu Caves ke Kampung Jawa kami berdua penuhi dengan bacaan Surah Yaasin buat arwah Mak walaupun ada ketikanya terhenti-henti akibat mengantuk.
Kami sampai di rumah hanya selang beberapa minit sebelum azan Subuh berkumandang. Ketika itu saudara-mara dan jiran terdekat yang telah dimaklumkan sudah ada menunggu ketibaan kami. Embah (Bapak arwah Mak) menyambut kami di muka pintu. Dapat ku lihat tatapan renungan sayu Embah. Masih dapat ku rasakan dakapan hangat Embah buat diri ku kala Subuh itu.
Ku diberi peluang untuk sama-sama memandikan jenazah. Tapi sayangnya aku tak kuat untuk melaksanakannya. Seiring dengan air yang menyirami jenazah arwah Mak, air mata ku turut lebat membasahi pipi. Sungguh, ku tak kuat!
Kucupan dan ciuman terakhir ku hadiahkan buat Mak sebelum jenazah arwah Mak sempurna dikafankan. Air mata ku tahan agar tidak menitis terkena jenazah. Tapi empangan ku tetap pecah!
Aku ikut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan sebaik jenazah selesai disolatkan di rumah. Berat rasa hati untuk melangkah pergi untuk kembali meneruskan kehidupan. Suasana di rumah ku rasakan sangat berbeza selepas pulang daripada tanah perkuburan. Ada sesuatu yang hilang. "Tadi Mak ada, sekarang Mak dah tak ada."
Kini, 6 tahun telah berlalu. Banyak perkara dan peristiwa yang telah berlaku sepanjang tempoh itu. Mak kembali kepada Pencipta saat ku baru memasuki semester dua pengajian di Matrikulasi dan kini telah setahun ku rasmi bergelar graduan sarjana muda.
Walau berapa tahun sekalipun, cinta, kasih, sayang dan rindu ku pada arwah Mak takkan pernah berhenti, insya-Allah. Aishah tetap anak bongsu Mak yang manja!
Al-Fatihah buat Allahyarhamah Hendon binti Mashud. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman.
Allahumma Aameen.
Allahumma Aameen.
6 comments:
salam ziarah
terima kasih
... dan aku...
...aku mengerti...
Hari dan tarikh yg sama..rndu mak..
ya... makanya ku catatkan di sini sebagai ingatan bersama buat pengubat rindu...
Post a Comment