Monday, 24 June 2013

24 Jun - Setahun Berlalu

Bismillahirrahmannirrahim. Salam Nisfu Syaaban!
Apa khabar semua? Semoga sihat2 saja hendaknya.

24 Jun - Pada tarikh ini setahun yang lepas, pagi-pagi lagi aku dah berkemas-kemas dan bersiap-siap untuk meninggalkan UUM. Hari terakhir aku di UUM, sebelum aku mula berpraktikal di KL pada bulan Julai nanti.

Bapak, Kang Amir, Kang Iman, Kak Sue dan Adam Aryan telah pun sampai semalamnya dari KL dengan dua buah kereta dan menginap di University Inn. Kak Watie yang telah pun sampai beberapa hari sebelumnya juga sibuk membantu aku mengemas. Jangan sampai ada barang penting yang tertinggal! Selesai urusan memunggah barang ke dalam kereta, aku pun berpamitanlah dengan Kak Melly, roommate ku dan sahabat-sahabat yang masih belum pulang kerana masih ada lagi exam yang perlu diduduki. Setelah itu, aku terus ke Pejabat DPP Tradewinds untuk urusan pemulangan kunci dan proses daftar keluar.

Kami sekeluarga seterusnya bergerak ke rumah Kak Kiran di Taman Teja, Changlun. Kak Kiran dah pesan awal-awal, agar kami bersarapan di rumahnya sebelum berangkat pulang. Baik sungguh Kak Kiran sekeluarga. Kehadiran mereka membuatkan aku rasa tak pernah jauh dari keluarga sepanjang tiga tahun pengajianku di UUM. Kami dijamu dengan nasi kerabu special pagi itu. Selepas beberapa ketika di rumah Kak Kiran, kami meminta diri untuk pulang. Nak berjalan-jalan dulu ke Padang Besar sebelum berangkat pulang ke KL.

Dan sebenarnya, perbualan di dalam kereta antara Kang Iman dan Kak Sue sewaktu dalam perjalanan keluar dari DPP Tradewinds menuju pintu gerbang UUM itulah yang membawa aku untuk menulis dan berkongsi pengalaman singkat ini di sini.

"Aishah dah abes nie, nak keluar, balik kampung, takde sedih2, nangis pun. Happy, rileks je.", kata Kang Iman. Dan balas Kak Sue, "Mestilah happy. Dah abes belajar, takde nak stress2 dgn assignment semua lagi." (perbualan sebenar tak dapat ku ingati betul2 kerana aku sendiri hampir terlupa tentangnya. tapi begitulah isi perbualannya) Dan aku yang duduk di depan, di sebelah Kang Iman hanya mampu tersenyum dengan perasaan yang bermacam-macam.

Sungguh, perasaan aku ketika itu berbaur. Gembira, sedih, takut, semua ada. Gembira sebab aku hampir berjaya menamatkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda aku. Sedih untuk meninggalkan tempat ku menimba ilmu dan pengalaman selama tiga tahun dengan kawan-kawan yang selalu berada di sisi. Takut untuk menghadapi tempoh praktikal selama empat bulan akan datang. - Mampukah aku menempuh satu alam baru yang tak pernah aku lalui? Bolehkah aku lulus dan dapat A? Bagaimana kalau aku gagal dalam praktikal nanti? - Persoalan-persoalan itu benar-benar membuatkan aku 'cuak' dan hampir saja menyerah kalah.

Dengan kebesaran Illahi, alhamdulillah aku berjaya menjalani tempoh praktikal dengan jayanya dan mendapat keputusan yang cemerlang. Dan hari ini aku boleh menulis di sini, bercerita tentangnya.

Tapi apa yang pasti, satu perkataan untuk menggambarkan perasaan ku pada hari ini setahun yang lepas ialah SAYU. Benar, aku terasa begitu sayu waktu tu. Cuma saja aku tak mampu untuk membiarkan airmata ku tumpah di hadapan ramai orang. Sebagaimana kenangan yang tercipta selama tiga tahun itu ku abadikan di dalam lubuk hati, begitu juga ingin ku pendamkan airmata ini jauh ke dasar hati. Biar saja senyuman dan kegembiraan mewakili diri.

Sampai di sini saja. Sebagai penutup, ingin ku laungkan ucapan TERIMA KASIH ku buat semua yang menyumbang kepada warna-warni kehidupan ku sepanjang aku berada di UUM, bergelar seorang penuntut jurusan pentadbiran perniagaan. Semoga kalian sentiasa berada dalam lindungan rahmat dan kasih sayang-Nya. Amin!

*insyaAllah pengalaman berpraktikal akan ku kongsikan di entry akan datang

Saturday, 22 June 2013

Islam, Iman & Ehsan

Bismillahirrahmannirrahim.

Hadis sahih Muslim, daripada Abdullah bin Umar, katanya Umar al-Khattab ayahnya bercerita kepadanya seperti berikut:

Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah s.a.w., tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang berpakaian sangat putih dan rambutnya hitam pekat. Sama sekali tidak nampak pada dirinya tanda-tanda seperti orang yang datang dari jauh. Tetapi tidak seorang pun daripada kami yang mengenali lelaki tersebut. Dia duduk dekat dengan Nabi s.a.w.. Dia menyandarkan kedua lututnya kepada kedua lutut Rasulullah. Dia juga meletakkan kedua tapak tangannya di atas kedua pahanya sendiri.

Dia berkata, "Wahai Muhammad, beritahu kepadaku mengenai Islam."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Islam itu hendaklah kamu bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah. Hendaklah kamu mendirikan solat, mengerjakan puasa Ramadhan, membayar zakat, dan menunaikan ibadat haji jika mampu."

Lelaki itu berkata, "Kamu berkata benar."

Umar berkata: Tentu saja kami merasa hairan kepada orang itu, sebab dia yang bertanya dan dia sendiri yang membenarkan (jawapan Rasulullah).

Lelaki itu berkata lagi, "Beritahukan kepadaku mengenai iman."

Rasulullah menjawab, "Hendaklah kamu beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, beriman kepada hari akhir dan juga kepada qadak qadar-Nya yang baik dan yang buruk."

Lelaki itu berkata, "Kamu telah berkata benar." Kemudian beliau menyambung, "Beritahukan kepada diriku mengenai ehsan."

Rasulullah bersabda, "Hendaknya kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak berasa melihat-Nya maka hendaklah kamu merasa dilihat oleh-Nya."

Lelaki itu berkata lagi, "Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat."

Rasulullah menjawab, "Tidaklah orang yang ditanya lebih mengetahui dibandingkan dengan yang bertanya."

Lelaki itu berkata, "Kalau begitu beritahukan tentang tanda-tandanya saja."

Rasulullah bersabda, "Kalau sudah ada budak perempuan melahirkan tuannya, kalau kamu telah menyaksikan orang-orang yang tidak beralas kaki dan tidak berpakaian dari kalangan orang-orang melarat, penggembala kambing saling berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi."

Umar berkata: Kemudian lelaki itu pun pergi. Setelah berlalu beberapa hari akhirnya Rasulullah berkata kepadaku, "Wahai Umar, tahukah kamu siapakah lelaki yang (beberapa hari lalu) mengajukan pertanyaan?" Aku menjawab: Hanya Allah dan Rasul-Nya saja yang mengetahui. Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya dia adalah Jibrail. Dia datang kepada kalian untuk mengajarkan agama kepada kalian semua."

Wallhu'alam.

Usagi Sailor Moon - Pen Handwriting